Thursday, September 15, 2011

Cita-cita aku

بسم الله الرحمن الرحيم 

Alhamdulillah...hidup lagi aku sampai ke hari ni. Siap boleh update blog lagi.

Haha..skema tak tajuk entry ni?
Macam tajuk karangan Bahasa Melayu darjah satu dulu-dulu.
Ha...kengkawan ada cita-cita?
Aku ada...tapi dulu la...

Cita-cita pun selalu berubah-ubah.
Masa darjah satu, nak jadi DOKTOR.

Ala, zaman kanak-kanak dulu, standard la cita-cita tinggi gitu.
Kerjaya guru, polis, bomba, askar, doktor memang cukup popular masa kecil-kecil dulu.

Cikgu pun pernah cabar suruh aku bedah katak semata-mata sebab aku cakap aku nak jadi doktor.
Hehe..sekarang ni katak dengan saya dah jadi kawan dah cikgu.
Katak tu la yang malang jadi bahan kajian. Terima kasih atas pengorbananmu Encik Katak.

Paling aku tak boleh nak percaya, cikgu pernah tulis kat ruangan cita-cita dalam buku laporan sekolah rendah aku kerjaya JURURAWAT. 

Aik? Bila masa aku pernah bercita-cita nak jadi jururawat ni? Memang tak tersimpan dalam memori aku pun aku pernah tertarik pada kerjaya jururawat.

Lepas tu, aku terfikir, "Tak nak la jadi doktor. Nak jadi apa ye, dah besar nanti?" [Bajet fikir ke hadapan la ni..]. Zaman aku dulu, darjah satu tak belajar lagi matapelajaran Sains. Tapi, aku suka je baca majalah Rakan Sains dan Tunas Sains yang cikgu jual kat sekolah.

Ni edisi baru. Rasanya dah takde dah ruangan pasal dinosaur tu.  :(
Dalam majalah Rakan Sains tu, ada la satu ruangan cerita pasal dinosaur. Terus aku tukar cita-cita aku nak jadi AHLI ARKEOLOGI. 



Hahaha..Sebabnya, aku suka dinosaur. Apa-apa je cerita pasal dinosaur aku suka. Jenis-jenis dinosaur pun aku hafal masa tu. Stegosaurus, Maiasaurus, Tyrannosaurus Rex, Brachiasaurus, Pteronodon, Triceratops...macam-macam lagi la...Sekarang ni minat tu masih ada cuma dah tak berapa ingat nama-nama dinosaur tu.

Masuk darjah 4 dah mula belajar subjek Sains. Sillibus yang cerita pasal tumbuh-tumbuhan, kemandirian spesies apa semua tu aku tak minat. Aku minat belajar pasal sistem solar je. Planet, Matahari, Bumi, Bulan, bintang...objek-objek yang berkaitan dengan angkasa lepas la. Semua aku nak ambil tahu. Best sangat!


Aku pun tukar lagi cita-cita...nak jadi AHLI ASTRONOMI la pula. Ni cita-cita aku yang paling lama. Siap beli lagi buku pasal astronomi tapi,tak mampu la pula nak beli teleskop untuk kaji bintang. Semua benda pasal astronomi aku ambil tahu. Tambah excited bila Malaysia berjaya hantar angkasawan pertama, Datuk Dr. Sheikh Muszapahar ke Stesen Angkasa Antarabangsa [ISS]. 


Daripada detik pelancaran kapal Soyuz TMA-10 tu sampai detik ketibaan semula ke bumi aku tengok kat TV. Sampai abang aku naik bosan asyik tengok pasal tu je. Haha..Disebabkan penghantaran Dr. Sheikh Muszaphar ke ISS ni juga la, ramai kanak-kanak bercita-cita nak jadi angkasawan, termasuk la adik aku sendiri. :D

Tapi, masuk tingkatan 4, ibu aku tak setuju dengan cita-cita tu atas sebab-sebab tertentu. Haish..kena tukar cita-cita lagi la ni...

Lepas tu, cikgu kaunseling suruh buat folio kerjaya pula. Terpulang la pada diri masing-masing nak buat pasal apa. Fikir punya fikir, aku ambil keputusan buat folio pasal AHLI FARMASI. Itupun setelah dapat suntikan nasihat daripada guru kaunseling dan ibu aku sendiri. Hahaha...


Al-Razi. Tokoh farmasi Islam yang terkenal.
Malangnya, cita-cita tu pun tak bertahan lama. Habis SPM nak isi borang JPA. Tapi, JPA takde tawarkan kursus farmasi kat Timur Tengah. Ditambah pula ketidakinginan aku nak melibatkan diri dalam profesyen kedoktoron, aku ambil keputusan apply untuk kursus Pergigian. Satu kerjaya yang tak pernah menjadi cita-cita aku. Takpa la..minat boleh dipupuk.

Sekarang ni, bila dah belajar pasal bidang pergigian, memang minat aku kat dalam bidang ni la. Everything about dentistry is interesting to me. Masalahnya, sekarang ni aku suka sangat 'scan' gigi orang lain. Minta maaf la ye...Nak try apply ilmu yang dipelajari je...

Konklusinya, kita hanya boleh merancang. Allah jua yang menentukan natijah akhirnya. Tak salah pun nak simpan cita-cita. Sekurang-kurangnya kita ada matlamat untuk dicapai. Hidup tanpa matlamat ni sia-sia. Apa-apa pun, secara umumnya, matlamat kita semua dah tentulah mengejar mardhatillah. :)

p/s: Zaman moden ni, ramai kanak-kanak nak jadi pelakon dan penyanyi.
Jangan lupa gosok gigi. Bye.
Share:

Monday, September 5, 2011

Syawal di Tanta

بسم الله الرحمن الرحيم 

So, what's up guys?

Macam mana raya? Seronok?
Eh, lupa nak ucap...SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!
Dah raya ke-6, tapi ni baru pertama kali aku buat ucapan secara rasmi.

Tahun ni aku tak balik Malaysia. Duduk jadi penunggu kat Tanta ni. Kengkawan seperjuangan predental yang lain semuanya balik kecuali aku dan Izzah. 4 orang kengkawan lelaki pula pergi beraya kat UK. Pergh...masing-masing pulang membawa pengalaman baru dan ole-ole [penuh mengharap~hehe].

Sebelum aku merapu dengan lebih panjang, jom tengok gambar sambutan raya pelajar-pelajar Malaysia di bumi anbiya' ni.

HARI PERTAMA

Ramai-ramai berkumpul di Istad (stadium) Tanta. Solat sunat hari raya sama-sama dengan orang Arab.
Senior cakap tahun ni lebih meriah berbanding tahun sebelum-sebelum ni. Memang meriah pun. Tak percaya? Tengok gambar ni.


Macam pesta! Dengan belon, hiasan-hiasan, jalan sesak... First time solat atas jalan raya, best...! 

Ni mutazawwijin kat Tanta :)
Balik dari Istad, pergi open house senior. Banyak pula open house hari pertama tu. Tapi, still best!

HARI KEDUA

Aku duduk kat rumah senior, Kak Faten. Tolong sikit-sikit buat persiapan untuk open house Kak Faten keesokan harinya.

HARI KETIGA



Kuih raya dipos dari tanah air. Terima kasih pada mak Kak Faten.

Menu open house: nasi impit, papadom, roti jala, nasi hujan panas, air sirap satu tong.

Sate goreng, kuah kacang, rendang ayam

Blueberry cheese cake specially made by Kak Faten.
Mutazawwijin pun sma-sama memeriahkan rumah terbuka tu.
HARI KEEMPAT

Ha, raya keempat, Kak Amani and the gang pula buat rumah terbuka.

Tengok tu..penuh satu meja dengan juadah raya. Puding santan, nasi impit, kuah kacang, mi rebus, kuih raya. Semua pun sedap!



HARI KELIMA

Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT) buat rumah terbuka. Ramai la pelajar medic dan ustaz-ustaz turun sama-sama memeriahkan majlis tu. Buat dekat tempat terbuka, depan masjid Ar-Rahman. Dengan beralaskan tikar dan berbumbungkan langit, aku kira majlis tu meriah. Orang Arab pun excited tengok kami. Hahaha...

Hiasan raya yang disediakan AJK

Ketupat hiasan

Salah satu menu malam tu, satay! Hilang rasa mengidam nak makan sate Malaysia. Haha..! Best sangat!
Persembahan nasyid. Penasyid baru balik dari UK tu.


Itu je la pengalaman aku beraya kat Tanta setakat ni.

p/s: kredit gambar: Kak Faten.
Share:

Monday, August 22, 2011

Aku dan biskut raya

بسم الله الرحمن الرحيم 

Hari ni dah masuk 22 Ramadhan dah. Kurang dari seminggu je lagi nak raya. Waktu camni biasanya kaum wanita akan tukar profesion jadi fashion designer, interior designer dan chef.

Macam-macam persiapan raya nak buat. Langsir, sarung kusyen, cadar, alas meja semua nak kena tukar. Belum kira persiapan kuih raya dan baju raya. 

Selalunya kami sekeluarga akan bagi-bagikan tugas untuk buat persiapan raya. Ada group buat biskut raya, kemas rumah, masak juadah raya [selalunya rendang ayam + nasi impit], group hias rumah pun ada. Selalunya aku masuk dalam group biskut raya. Dah tu je yang aku minat...haha.

Biskut raya yang mesti ada tiap-tiap tahun kat rumah aku mestilah biskut kelapa, tart nenas dan mazola. Lepas tu, ibu akan beli kuih sepit belanda, biskut gajus, biskut almond london etc. etc.

Aku suka buat biskut kelapa sebab bahan-bahannya mudah disediakan dan senang nak buat. Nah, resepi BISKUT KELAPA. [Resepi dari internet]


BAHAN-BAHAN (120-130 keping )
    225 g tepung jagung "Brown n Polson" (cap kupu2)*
    150 g tepung gandum*
    1/2 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
    125 g gula aising
    75 g kelapa kering, dikisar halus
    25 g serbuk badam
    1 biji telur gred A (berat kurang lebih 60 g sebiji)
    1/2 camca teh esen vanilla
    155 g mentega

    UNTUK HIASAN:-
    Ceri merah, didadu kecil
    Kelapa kering

Cara nak buat? Secara ringkasnya, camni:

  1. Satukan kelapa kering yang dikisar dan serbuk badam bersama-sama tepung tadi. Ketepikan.
  2. Pukul telur, gula aising dan esen vanilla hingga berkrim. Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis sambil digaul perlahan. Pada peringkat ini adunan akan berupa seakan-akan serbuk roti.
  3. Masukkan mentega sedikit demi sedikit sambil terus menggaul hingga adunan tadi menjadi doh yang lembut. Bulat-bulatkan doh dan tutup dengan tuala lembap.
  4. Canai doh setebal 1/2 cm, terap dengan acuan kegemaran dan susun dalam dulang pembakar. Sapu kuning telur, letak satu potongan kecil ceri dan tabur dengan kelapa kering. Buat hingga habis.
  5. Bakar dalam oven pada suhu 150'C selama 10 - 12 minit. Sejukkan biskut atas jaringan hingga betul-betul sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

Biasanya aku akan kurangkan sukatan gula tu sebab nanti manis sangat. Step 3 dan canai doh tu pun aku selalu skip. Buat ikut suka je.

Part paling payah buat biskut raya ni dah tentulah part nak membakar tu. Dapur rumah kami guna oven elektrik. Kalau pakai api atas bawah, biskut tu confirm hangus. Jadi, nak tak nak, terpaksa pakai api bawah je. Masalahnya, adunan biskut lambat masak. Aku cukup tak suka menunggu, tapi, biskut raya punya pasal, kenlah tunggu kan.

Ada la juga beberapa kali terhanguskan biskut tu. Lepas tu, kena marah..haha..Yelah, biskut tu jadi keras sampai baling kat dinding pun tak pecah.[exaggerated sikit^^].

Kadang-kadang aku tunjuk je biskut yang hangus tu kat ibu, tapi, kalau banyak sangat yang hangus, aku sorok, lepas tu, makan dalam bilik sama adik...Jadi, tak membazir...Hangus pun sedap juga~

Tu part paling payah. Part paling best pula masa nak habiskan adunan biskut. Kalau buat dengan adik, selalu je berebut baki adunan. Masing-masing nak buat biskut bentuk ikut suka hati.

Masa tu la nak tunjuk kreativiti. Bentuk paling mudah nak buat dah tentulah bentuk cacing. Uli adunan tu memanjang, lepas tu, letak ceri banyak-banyak untuk mata, mulut dan hiasan badan cacing tu.

Kalau tak rajin, buat bentuk bulat, susun bertingkat ala-ala snowman. Dah siap bakar, bentuk-bentuk tu la yang dicari dulu. Nasib tak baik, langsung hilang bentuk sebab biskut tu mengembang masa dibakar.

Sekian.


Share:

Monday, August 8, 2011

Ramadhan di Tanta

بسم الله الرحمن الرحيم 

7 Ogos 2011 M
7 Ramadhan 1432 H

Dah 2 tahun tak sambut 1 Ramadhan dengan family.
Tahun lepas, aku sambut 1 Ramadhan di INTEC UiTM.
Tahun ni, Alhamdulillah dan InsyaAllah aku akan meraikan Ramadhan + beraya di ardhul kinanah ini.

Ramadhan pertama di benua Afrika ini memang buat aku excited.
Jadi, apa bezanya Ramadhan di sini dengan Ramadhan di Malaysia?

Pertama sekali, "Sambutan Awal Ramadhan"
Orang Arab sangat mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan.
Beberapa hari sebelum Ramadhan, mereka dah pasang fannus [macam bentuk tanglung] kat balkoni rumah. Meriahlah kawasan rumah dengan limpahan cahaya fannus yang berwarna-warni...

Ucapan "Ramadhan kareem" [Ramadhan yang mulia] selalu diucapkan kepada rakan dan jiran tetangga. Aku rasa, kalau mampu, kat semua orang mereka nak ucap camtu.

Malam-malam Ramadhan juga meriah dengan pesta ibadah. Masjid-masjid diimarahkan.
Solat jemaah, solat tarawih, iftar jamai'e...seronok sangat puasa kat sini!

Ikut pengalaman kawan aku, imam akan baca 1 juzuk Al-Quran untuk solat terawikh 8 rakaat. Ini kat masjid-masjid tertentu la. Memang lama, tapi, masa tu dapat didengari tangisan daripada makmum Arab yang memahami ayat suci Al-Quran. Menangis apabila dibacakan ayat-ayat azab, mungkin. Amat indah suasana Ramadhan di sini.

*Sehingga entri ni di'publish' aku baru dapat merasai pengalaman solat terawikh di مسجد تبارك.


Pengalaman Dr. Gigi Ismatul lebih menarik untuk dibaca. Jangan malu, klik je link tu untuk tahu pengalaman beliau berpuasa di sini. :)
Aku sangat bersyukur dapat melalui Ramadhan tahun ini.
Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.
InsyaAllah.
Terasa cepat masa berlalu.
Apakah aku masih punya peluang untuk bertemu Ramadhan lagi?
Wallahu'alam.
Share:

Wednesday, July 13, 2011

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

بسم الله الرحمن الرحيم 

"In a land of myth and a time of magic,
the destiny of a kingdom rests on the shoulders of a young boy.
His name...Merlin"

Itu intro untuk siri The Adventures of Merlin. 
Merlin..So cool~
Dalam cerita tu, Raja Uther adalah seorang raja yang keras kepala dan takkan ada tolak ansur langsung dalam apa-apa perkara yang melibatkan sihir [magic/miracle/sorcery]. Sesiapa je yang mengamalkan/disyaki mengamalkan sihir, akan dibunuh serta merta tak kisah la ada bukti atau pun tanpa bukti yang kukuh. Jadi, ramai orang termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh atas sebab tu.

Atas sebab tu juga, ramai orang benci kat Raja Uther. Itulah yang berlaku pada sebuah negara andai kata raja berkuasa mutlak. Setiap titah raja langsung tak boleh bantah walaupun anak raja sendiri. Setiap titah adalah perintah. Takde tolak ansur lagi. Raja cuma akan tanya pendapat orang lain kalau dia dah takde idea.

Mengikut sejarah, sistem politik terbaik telah pun diamalkan oleh kerajaan Madinah sewaktu Rasulullah sallahualihi wasalam menjadi ketua negara dulu. Baginda mengamalkan sistem syura, satu sistem yang mementingkan perbincangan sesama ahli majlis syura.

Aku tak pernah tahu apa perasaan hidup ada raja. Sekarang ni pun negeri aku bukannya ada raja pun. Mengikut sejarah, raja negeri aku lari pergi negeri lain.

"Kesetiaan kepada raja dan negara"
Prinsip rukun negara yang kedua. Dulu, ada la juga belajar maksud prinsip rukun negara dalam subjek Pendidikan Sivik dan Kewargenegaraan. Tak pernah nak ingat pun. Jadi, aku tanya Mr.Google maksud rukun negara kedua yang selalu kita laungkan masa perhimpunan kat sekolah dulu.

Mr. Google kata,
" Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong." 
Sumber: Wikipedia
"Menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah lambang perpaduan negara kerana Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak raja Berpelembagaan. Rakyat mestilah taat setia kepada baginda dan negara. Kesetiaan adalah suatu semangat kebangsaan yang boleh menyatupadukan rakyat. Prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan."
Sumber: scribd.com

Sikit punya panjang la huraiannya...Dalam siri Merlin, Putera Arthur, anak Raja Uther pernah kata:
"Camelot was built on trust and loyalty"

Ni nak menunjukkan betapa pentingnya kesetiaan rakyat pada pemerintah demi keamanan negara. Kepercayaan rakyat pada pemimpin akan membuahkan kesetiaan. Kalau rakyat dah tak percaya pada pemimpin, agak-agak wujud ke sifat setia?

Saidina Abu Bakar radiallahuanhu pernah berucap:
“ Wahai semua orang yang hadir, saya dilantik menjadi pemimpin kamu, pada hal saya bukannya orang yang terbaik dikalangan kamu. Sekiranya saya seorang yang berlaku baik, tolonglah saya. Sekiranya saya berlaku buruk, perbetulkan saya. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah kalangan kamu menjadi kuat disisku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah disisiku sehingga aku bertindak keatasnya dengan cara yang benar ( adil ). InsyaALLAH, tiada ada seorang meninggalkan kewajipan berjihad menegakkan Islam, maka sesungguhnya tidak ada kaum yang meninggalkan kewajipan jihad itu melainkan ALLAH menghukum mereka menjadi hina.
Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul,
maka apabila aku menderhakai Allah dan Rasulnya, maka kamu tidak wajib mentaatiku.”
Sumber: mujahidmuda90.blogspot.com

Ini satu contoh sifat pemimpin yang adil. Ketaatan pada Allah adalah perkara utama bagi beliau. Tak gila kuasa, memerintah negara berlandaskan hukum-hukum yang telah disyariatkan Allah subhanallahuwataala. Yakin undang-undang syariah adalah undang-undang terbaik untuk kemaslahatan umat. Masih adakah pemimpin sebegini?

Wallahu'alam.

p/s: Tiada manusia dapat lari dari kesilapan.
Share:

Saturday, March 19, 2011

I Wonder...

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum!

Sesiapa yang minat anime mungkin pernah tengok anime "Fruits Basket", kan? 


Bukan nak cerita pasal anime tu pun...tapi, nak kongsi something interesting yang aku dapat dari anime tu.

Ni kata-kata Honda Tohru (heroin Fruits Basket) dalam anime tu:

"Why is it people have to be jealous of someone...
I wonder
Why is it they don't notice the remarkable things about themselves...
I wonder"

Pernah tak korang rasa cemburu pada orang lain?
Adik-beradik?
Kengkawan?
Sesiapa je?
Pernah?

Kalau la pernah, mungkin masa tu korang masih belum sedar kelebihan yang korang ada. 

Kita (termasuk diri aku) selalu nampak kelebihan orang lain.

Kita selalu nampak tuah orang lain.

Kita selalu fikir tak ada orang lain yang lebih susah/menderita dari kita.

Kenapa?

Kenapa?

Kenapa?

Sebab kita ni manusia...kita selalu lupa.
Kita lupa kita pun ada kelebihan.
Kita lupa ramai lagi saudara kita yang menderita.
Kita lupa, mungkin Allah cuma nak uji kita, sebab tu Dia beri kita rasa susah.
Dalam erti kata lain, kita lupa nak BERSYUKUR...

Kita lupa Allah dah kurniakan pelbagai lagi nikmat lain untuk kita.


Kadang-kadang, kita terlalu tamak sampai wujud perasaan cemburu pada orang lain.
Walhal kita tak perlukan semua tu pun.

Kita sepatutnya ingat, Allah Maha Adil. Dia tak akan pernah menganiaya makhlukNya. 
Setiap yang berlaku tu pasti ada hikmah.
Fikir-fikirkanlah...
Sekian.

p/s: Tengok anime pun boleh dapat pengajaran tau...Tapi, jangan sekadar tengok, fikir-fikirlah..
Kat blog ni  ada cerita pasal kelebihan bersyukur. Baca la...InsyaAllah bermanfaat.


Edited: Aku tak maksudkan cemburu sebab cinta dalam post ni. Aku maksudkan cemburu sebab tengok orang lain lebih berjaya/beruntung/bahagia daripada diri sendiri. Itu je. Maaf andai ada silap/salah dalam menconteng...Wallahualam.
Share:

Saturday, March 12, 2011

Kembali ke Mesir

بسم الله الرحمن الرحيم 

Hmmph..setelah sebulan menganggur di Malaysia, aku dengan berbesar hatinya menerima pelawaan JPA untuk dihantar semula ke Mesir. Alhamdulillah. Mesir telah kembali aman...

8 Mac 2011
I'm not ready!
Pagi. Dapat berita kena pergi airport malam ni juga. 10 malam dah start check-in. Flight pukul 5.30 pagi, 9 Mac 2011. Ok...Seperti kawan-kawan aku yang lain, aku pun mmenghadapi masalah yang sama, "BEG TAK KEMAS LAGI!!". Camtu pun, aku masih berlengah-lengah depan laptop menghadap fb. Ye la..nak kena pastikan dulu, betul or tak berita tu. Dalam pukul 12 tengah hari, JPA keluarkan senarai nama pelajar yang flightnya 9 Mac. Yup, nama aku ada. So, kena kemas la ni kan...ye la..ye la..aku start la packing...

7 malam. Tak siap-siap packing lagi. Haha. Petang tu aku tengok TV... Variety show Korea. Oh! My School. Best! Sebab tu la tak sudah-sudah lagi packing. Pukul 8 malam nak gerak gi KLIA dah. Aku bawa 1 beg je, sebab tu la aku berusaha menyumbat-nyumbat segala barang yang nak dibawa. Entah berapa kali keluar-masuk barang-barang tu sampai naik fed-up, akhirnya siap juga. Siap packing, terus gerak.

Rupa-rupanya, check-in pukul 12 tengah malam. Aku pun cakap la kat parents+abang+adik aku, "Gi la balik dulu. Check-in pukul 12. Lama lagi kalau nak tunggu." Then, aku gi join kawan-kawan aku. Hanis, Hasanah, Afefah, Ainin...kitorang kumpul satu tempat, pastu berborak.

Selesai semua urusan, pukul 2 pagi kena siap sedia kat gate dah. Boarding pukul 4.30 pagi. Apa nak buat ni? Tidurlah...zzzz....zzzz...

Aku tidur sangat lena walaupun cuma duduk atas lantai, kepala beralaskan beg. Sedar-sedar je dah kena boarding. 5.30 pagi, take off...and for me...doze off already...Flight KUL-CAIRO selalunya ambil masa 11 jam. Kali ni, kitorang transit di DUBAI 2 jam, so, 13 jam la jadinya aku terperuk dalam flight tu. Sempat la ambil gambar masa dalam flight...

ni kat ruang udara India-lebih kurang jam 0800


dah nak sampai Mesir..
tak tau la apa bendanya yang bulat-bulat kaler hitam tu
9 Mac 2011- I'M BACK!!
Selamat sampai kat Cairo. Cuaca baik, tapi, angin sangat kuat dan sangat sejuk time tu. Pakai sweater 2 lapis pun sejuk lagi...brrrrbbrrrr...Rasa nak tumbang je kena tiup angin...Perjalanan selama 2 jam Cairo-Tanta menaiki bas yang disediakan JPA rasa sekejap je..sebab aku tidur! (Tidur saja kerja aku ni). Walaupun penat lepas bermusafir berjam-jam, rasa bersyukur sangat once kaki dah menjejak bumi Mesir ni. 

on the way ke Tanta...
ni kat Cairo...
padang pasir..cantik kan?
'jam'..perkara biasa kat bandar-bandar besar...
seni landskap kat Mesir.
Kitorang sampai Ma'arad dalam pukul 5.30 petang. Tak sangka pula kepulangan kitorang tu akan disambut dengan penuh ceria oleh masayarakat Arab kat situ. Muka masing-masing happy je nampak pelajar-pelajar Malaysia. Pak cik kedai to'miyyah pun siap lambai lagi kat aku. Mula-mula tu macam tak percaya je, bila tengok untuk kali yang ketiga, betul la tu. Haha..bahagia je rasa. Kedai ammu tu pun dah maju dah. Dah pindah ke premis baru yang lebih besar dan bersih. 

Rindu betul diorang dengan pelajar-pelajar Malaysia....

Kesimpulannya:  Mesir dah banyak berubah. Mungkin kesan daripada rusuhan kott?
Share:

Friday, March 4, 2011

Remaja kita

بسم الله الرحمن الرحيم 

Zaman remaja ni memang la seronok. Muda lagi. Tu yang asyik nak enjoy je. Semua benda buat ikut kepala sendiri. Nasihat orang jarang nak dengar. Bukan semua remaja camtu, tapi, ni la tipikal remaja sekarang.

Sejak aku balik Malaysia ni, selalu rasa meluat. Sebab apa? Sebab remaja yang sebaya aku ni la. Aku meluat bila tengok cara diorang berpakaian. Terdedah sana sini. Terbonjol sana sini. Mekap tebal macam pelakon opera (Bukan kutuk, bagi contoh yang benar).

Golongan ni la yang Rasulullah  صلى الله عليه و سلم   sebut dalam hadis baginda sebagai golongan yang berpakaian tetapi telanjang. Bukan remaja je...makcik-makcik pun ada gak pakai camtu. Rasa macam culture shock pun ye juga. Benda-benda macam ni la yang buat aku lagi rasa rindu kat Mesir and rasa nak blah cepat je dari sini.

Aku bukannya nak kutuk ke hapa sebab aku tau, 'Nobody is perfect'. Kalaupun tak bertudung labuh, at least, tutup la aurat tu betul-betul. Kadang-kadang tu aku tengok ada yang pakai tudung, tapi, jarang. Baju ketat. Seluar ketat. Diorang nak tunjuk kat siapa mende-mende tu? Nak tarik perhatian lelaki? Berdasarkan kajian yang dibuat beberapa pihak tertentu, nak tau tak pendapat lelaki pasal wanita yang berpakaian gitu?

First impression diorang: Perempuan ni tak tau malu. Then, perempuan ni tak layak dijadikan isteri. Buat spare part je. Ada pula yang cakap: "Takat perempuan camtu, buat cuci mata je bolehlah". Adoiyai, jatuh maruah kaum wanita tau tak? Ni aku sertakan antara pesanan kaum Adam di luar sana untuk kaum Hawa. "Kalau pakai tudung, tutuplah aurat tu betul-betul. Muliakan tudung tu. Janganlah kejap pakai, kejap bukak".

Ha..panjang kan intro post aku kali ni? Hahaha..Semua yang aku tulis tu kisah benar tau bukannya rekaan. Minggu lepas, aku keluar pergi bandar Melaka. Hajat di hati nak cari barang keperluan. Sementara menunggu bas sampai, nampak la pemandangan yang sangat meluat bagi aku.

Ada la satu group remaja perempuan baru turun dari bas. Ada yang pakaian memang cam tak pakai baju pun ada. Dah la pakai singlet, jeans pula yang saiz adik dia punya, 'dye' rambut pula tu. Pastu ada lagi 2 orang ni pakai baju macam lelaki. Dengan seluar tiga sukunya, rambut pendek lagi, sampai dah tak boleh beza lelaki ke perempuan. Tu kira biasa la sebab sekarang ni memang bersepah fesyen (fesyen ape mendenye??) camtu kat Malaysia ni. Aku start rasa nak termuntah bila bebudak tu hisap rokok! (bukan exaggerating tapi memang benar!).

 Semoga Allah beri hidayah pada mereka. Hidayah tu milik Allah.

Aku rindu dengan suasana Mesir. Kat sana, senang je nak jumpa wanita bertudung labuh, berpurdah...rasa sangat tenang bila dapat tengok pemandangan camtu...Bukan orang Arab je yang pakai camtu, senior-senior aku pun ramai je yang pakai gitu.

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, aku sempat la bersembang dengan sorang kakak ni. Beliau ambil bidang usuluddin kat Alex. Aku tanya, "Akak pakai purdah kat sini ke atau dari Malaysia lagi dah pakai?" Kakak tu pun cerita la sejak bila beliau pakai purdah. 

Katanya,
"Dulu masa akak remaja mak akak nak bawa akak jalan jauh. Mak akak takut la sebab akak ni perempuan, payah la nak jaga. Then, mak akak suruh la akak pakai purdah. Mula-mula pakai rasa tak selesa sebab ketat. Lama-lama tu rasa best pula. Sejak tu akak pakai purdah sentiasa".

Akak tu pun cerita la hikmah berpurdah sikit-sikit. Beliau kata, boleh elak dari fitnah. Boleh tapis debu. Macam-macam lagi la. Kalau kengkawan nak tau pengalaman orang yang berpurdah, klik sini. Baca la.

Sekian.

Share:

Tuesday, March 1, 2011

Kebangkitan Mesir 2011 [bahagian 4]

بسم الله الرحمن الرحيم 



9 Februari 2011

Seminggu dah berlalu sejak aku menjejakkan kaki di Jeddah. Akhirnya, malam 9 Februari ni, penantian aku untuk dihantar pulang ke Malaysia pun berakhir. 

Malam tu, sayup-sayup dengar pengumuman dari pusat operasi. Disebabkan langsung tak dapat dengar butir-butir pengumuman tu, aku dan kawan aku, Afefah ambil keputusan nak pergi pusat operasi. Mana la tau giliran kitorang dah sampai...And...at last..! Memang ada nama kitorang dalam senarai yang terbaru tu. Kitorang kena berkumpul pukul 6 pagi. Aish..aku dah la susah bangun pagi! Jadi, aku ngan Afefah sepakat tak nak tidur malam tu. Waktu tu jam dah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Ada 6 jam lagi..Apa mau buat?? Layan drama la...walaupun aku tak minat drama, layan je la...

Tapi, dalam kitorang happy nak balik tu, kawan-kawan kitorang yang belum sampai giliran bersedih. : ( Sabar ye...sampai masanya, korang balik gak.

10 Februari 2011

Pukul 6 pagi berkumpul. Ambil passport, dapat sarapan, then pukul 7 lebih bertolak pergi King Abdul Aziz Airport. Walaupun perjalanan tak jauh, aku sempat la terlelap. Pemeriksaan kastam kat Jeddah boleh tahan ketat gak. Satu badan kena scan. Siap ada bilik khas untuk wanita lagi. Selesai pemeriksaan kastam, kitorang tunggu je la masa untuk boarding. 

Masuk kali ni, ni la kali ketiga aku naik MAS... First time, dari Malaysia ke Mesir. Second time, dari Mesir ke Jeddah. Third time, dari Jeddah ke Malaysia. 

Penerbangan dari Jeddah ke Malaysia mengambil masa 9 jam. Flight aku pukul 12.30 p.m. Kalau takde rintangan, pukul 2 pagi [waktu Malaysia] sampai la aku kat tanah air. Dalam flight yang panjang camtu, dah sah-sah la makan je kerja aku. Pastu tidur. Sejam sebelum sampai aku tak tidur. Menikmati pemandangan. Time tu aku dapat duduk kat tepi tingkap. Dapat la tengok negara jiran kita, Indonesia dari udara. Ala..waktu malam bukan nampak apa pun sangat..nampak lampu-lampu jalan je la..

11 Februari 2011 

Tepat jam 0200, kami pun selamat tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Selesai semua urusan kastam, pendaftaran semua, kitorang pun pergi la jumpa family masing-masing. Sesak giler. Setiap inci arrival hall tu manusia je...Keluarga, kawan, sanak saudara, orang-orang kerajaan and macam-macam golongan lagi la ada. Rimas la gak sebab diorang tu menghalang laluan. 

lebih kurang camni la keadaan time tu...tapi, ni gambar group penyanyi Korea datang Malaysia..pinjam sat.. 

Apa-apa pun, aku selamat sampai di tanah air. Pagi tu juga ayah aku drive balik Melaka. Penat tu...Alhamdulillah, selamat sampai rumah...`Home Sweet home`. Tapi, aku tak boleh tidur..Sebab apa agaknya?

 

Dekat seminggu la gak aku mengalami jet lag. Bukannya tak tau bezakan waktu time tu..badan aku yang tak mau tidur. I've tried...Orang tidur aku jaga. Orang berjaga aku tidur. Sampai adik aku yang umur 8 tahun tu cakap, "Uda ni asyik tidur je...". 

~End of my Journey to Malaysia due to Egypt Spring 2011~


Andai kata aku terlupa apa yang aku pernah lalui, catatan di blog ni la yang akan mengingatkan aku setiap detik tu.
Share:

Friday, February 25, 2011

Kebangkitan Mesir 2011 [bahagian 3]

بسم الله الرحمن الرحيم 




2 Februari 2011

Disebabkan kebosanan tahap gaban, kitorang kemas la rumah. Aku tengah syok gotong-royong kemas rumah dengan ahli bait aku, tiba-tiba je..Jeng..jeng...jeng! Dapat berita penting! Kitorang diarah siap-siap packing barang supaya senang bila nak gerak nanti. Hmmph..dah lama dah siap packing..Dah berapa kali pack-unpack dah, nak pastikan barang-barang tu tak banyak dan senang nak bawa.

So, kitorang kena sentiasa get ready je sebab bila-bila masa je kitorang akan disuruh berkumpul. Kitorang pun siapkan bekal nak bawa pergi Cairo. Dari pagi sampai malam kitorang tunggu, bila la diorang nak panggil kumpul ni...takde pun…Dah la makan pun rushing je. Takut tertinggal punya pasal..hahaha!

3 Februari 2011

Sekali lagi kitorang menunggu dengan penuh harapan. Hah! Telefon Hanis bunyi! Sapa tu? Oooo..kitorang kena kumpul pukul 6 pagi esok. Esok pelajar Tanta akan gerak ke Dewan Malaysia (ARMA) di Cairo. Yeah!

Hari tu juga la kitorang pergi jumpa baba, nak bayar sewa. Baba tu baiklah pulak. Dia tak nak ambik sewa untuk bulan 3, dia ambik untuk bulan 2 je. Dah tu, duit bil pun dia tak ambik. His son said, “It’s okay. If you need the money, keep it. If you have problem, tell us. Do you need food?”. Lebih kurang camtu la. See...siapa kata orang Arab kasar? Ada je yang baik okay?

Dipendekkan cerita, malam tu aku tak tidur pasal aku ni memang jenis yang payah nak bangun pagi. Ooops!

4 Februari 2011

Pelajar-pelajar Tanta gerak ke Cairo. Pukul 6 pagi dah keluar rumah. Sebelum tu, kena kejut baba dulu! Hahaha...Lama juga ahli bait aku ketuk pintu rumah baba. Last-last, anak dia yang buka. Muka selebet je…mata kuyu..sah-sah baru bangun tidur! Sorry la ganggu, tapi, kitorang nak gerak ni...Tolong buka pintu pagar, boleh?

On the way ke Cairo, ustaz-ustaz ada pesan, kami akan melalui banyak checkpoint. Checkpoint apa pula ni? Ni bukannya pertandingan Explorace…Ustaz tu kata, kalau ada pakcik polis naik bas kitorang, nak check barang-barang, tolong beri kerjasama. 

Hmmm…yelah…aku tak tau la ada ke tidak checkpoint tu sebab, sepanjang jalan aku tidur! Dah nak sampai ARMA baru aku bangun. 

Mula-mula sampai tu, terkejut sebab dapat tahu aku ditempatkan dalam bilik yang akan dimuatkan dengan 30 orang. Biar betol! Bukannya tak bersyukur, tapi, bilik tu kecik sangat. Nak duduk pun tak muat. (Betul ni! Memang tak muat nak duduk.) Lepas tu, kakak yang uruskan tu bagi la bilik lain kat kitorang. Tapi, malam tu, aku pergi tidur kat bilik Hanis.

Kat ARMA ok je. Cukup je makan. Time tu orang tak ramai sangat. Pelajar-pelajar lain dah pergi Jeddah. Time kawan aku, Nabilah transit kat situ, memang ramai. Sebab tu ada yang kata tak cukup makanan. Pastu sampai kecoh cerita tu di Malaysia.

Malam tu pula dapat berita kitorang akan dipindahkan ke Jeddah esok pagi.

5 Februari 2011

WE ARE GOING TO JEDDAH!


Pukul 5.45 pagi berkumpul. Dengar taklimat. Pukul 7 lebih gerak ke airport. Kat airport, memang ramai sangat orang tunggu giliran nak balik. Ramai sangat-sangat. Kat sana dapat makan biskut. Kerajaan bagi. Ok la tu. Flight pukul 12.30 p.m. Naik MAS.

Selamat tinggal Mesir! Nanti aku datang balik..! Insya Allah~

SAMPAI DI JEDDAH!

Flight 2 jam je. Time nak take off tu la aku tidur. Bangun-bangun je makanan dah ada depan mata. Lepas tu, tidur lagi. Sampai kat Jeddah dalam pukul 2.35 p.m. Hmm..Jeddah ni panas. Bahang. Dah lama tak rasa bahang matahari disebabkan Mesir masa tu masih musim sejuk.

Kitorang pun duduk la melepak kat airport Jeddah, Lapangan Terbang King Abdul Aziz tu. Setiap ceruk arriving hall tu orang Malaysia je ada. Sana selonggok. Kat situ selonggok. Kesian...Pelajar-pelajar Alex dengan anggota TUDM pun ada kat sana. Budak Alex naik pesawat Charlie TUDM. Kawan aku, Ainin pun dapat naik pesawat tu. Dia kata, “Tak selesa tapi, dapat pengalaman”. Pilot TUDM tu siap buat aksi pusing-pusing lagi time flight.
Ni la Charlie..cute kan?
 Lepas habis semua urusan kat airport, kitorang pun gerak ke Madinatul Hujjaj. Time tu dah pukul 7 p.m. Kiranya dekat 5 jam kami tersadai di airport Jeddah. Pukul 9 p.m kitorang sampai di Madinatul Hujjaj. Dah la aku tengah mamai, baru bangun tidur, terhuyung-hayang jalan pergi tempat orang lain berkumpul. Disebabkan bilik asrama tak cukup, kitorang yang dari Zaqazig dan Tanta ditempatkan di surau. 

kawasan depan musolla. Ni gambar dari internet.
Surau tu memang selesa sungguh! Nak mandi pun senang sebab toilet dekat je. Satu je masalah: Bila ada pengumuman, kitorang tak dengar sebab tak ada speaker kat surau tu.

So, setiap malam, aku ngan kawan aku akan lepak kat luar untuk dengar pengumuman. Nombor giliran pelajar yang akan pulang diumumkan guna speaker tu. Sebab tu kena alert sentiasa.

6 Februari 2011

Sepanjang duduk kat Jeddah tu memang rasa banyak masa terbuang camtu je. Tidur, makan, tengok movie, melepak, makan lagi, tidur lagi, tengok movie lagi…bosan giler! Ada la juga tolong buat database. Tapi, aku tolong baca je la. Setiap hari kitorang tunggu, bila la boleh balik Malaysia ni. 

Hah! Ni nak ucap terima kasih yang tak terkira kat Tabung Haji. Terima kasih sediakan penempatan, makanan dan jaga segala keperluan pelajar-pelajar Malaysia masa kami transit kat Jeddah. Sangat selesa dan terharu dengan layanan anda semua. Terima kasih! Semoga Allah melimpahkan rahmat dan berkatNya kepada anda semua.

To be continued~
Share:

Wednesday, February 23, 2011

Kebangkitan Mesir 2011 [bahagian 2]

بسم الله الرحمن الرحيم 

28 Januari 2011


THE RIOT STARTS FROM NOW!

Ahli bait aku, Malia nak balik Malaysia! Bye..bye.. Malangnya, time ni la rusuhan bermula! Hahaha..excited tak? Memang excited. Macam-macam hal jadi. Tramco (van sewa) yang kawan aku tempah untuk pergi Cairo, tak tiba seperti yang dijanjikan. Dari pukul 4 petang sampai pukul 5 petang diorang tunggu tramco tak sampai-sampai. Disebabkan dah nak maghrib time tu, ada la ikhwah ni suruh diorang balik rumah dulu, nanti sambung tunggu tramco lagi. Malia time tu dah bengang dah. Dah la orang yang uruskan pasal tramco tu tak tunjuk-tunjuk muka.

Ha! Masa diorang dok tunggu tramco tu, diorang kata, mata diorang pedih. Pedih sangat! Diorang kata tu gas pemedih mata yang pakcik-pakcik polis hadiahkan kat perusuh. Tak sangka la pula sampai ke kawasan perumahan kami gas tu tersebar.

In the end, tramco memang tak datang. Masalahnya, hari tu la pula sistem komunikasi langsung tak berfungsi. Mula-mula tu pelik la juga. Apasal la pula tiba-tiba je handphone tak boleh call/sms. Internet pun tak boleh guna. Rupa-rupanya, semua kena sekat. Memang susah giler la hari tu. Nak sampaikan berita kena jumpa face to face. Huh... 


Dengan pertolongan senior kami, Dr Azhan, Malia, Nad dan Nadia dapat la juga pergi Cairo walaupun cuma naik peugot (kereta sewa arab). Lebih baik ada daripada tak ada kan? Kawan-kawan yang lain tak dapat la nak iring diorang pergi airport. Time tu dah pukul 8 malam, flight pukul 12.00 a.m. Semua dok berdoa je supaya diorang tak terlepas flight.

29 Januari 2011

Flight Malia kena delay. 2 jam la juga diorang tunggu kat airport. Apa-apa pun, diorang selamat sampai ke Malaysia. Talian telefon pulih pada hari yang sama. Tapi, internet tetap tak boleh guna. Nak contact ngan family payah la sikit. Kalau call/sms dah tentu-tentu kena bayar. Internet lain la..FREE.. Lepas kitorang dapat tau rakyat Mesir memang sungguh-sungguh nak merusuh, senior-senior semua nasihatkan kumpul barang makanan, keperluan harian. Mana la tau Mesir akan diisytiharkan darurat. So, better get ready than nothing!

30 Januari 2011


Perintah berkurung mula dikeluarkan. Dari pukul 4 petang sampai pukul 6 pagi. Perintah berkurung ni untuk keselamatan kitorang juga. Balai polis kena bakar, penjahat dah terlepas, polis Tanta pula pergi Cairo, nak redakan keadaan di Cairo. Kiranya, Tanta takde polis la time tu. Apa-apa hal jadi pun, kitorang takde tempat nak mengadu. Jadi, kitorang kena la alert sentiasa. Jaga keselamatan diri. Huru-hara juga keadaan Mesir masa tu,

Tuan rumah (baba) pun dah mula kunci pagar utama flat kitorang. Sebelum ni pagar utama tu memang dibiarkan je terbuka. Ada sekali tu waktu aku dan Hanis nak keluar jumpa kawan Hanis, terserempak dengan baba. Muka beliau nampak bengis je time tu. Macam polis nak soal siasat penjahat baba tanya, "Nak pergi mana?". Daripada susah payah terangkan nak jumpa kawan dalam bahasa Arab, Hanis jawab, "Nak pergi kedai". Senang cerita. Baba suruh balik cepat sebab nanti beliau nak kunci pagar. Aku dengan Hanis pun berlari la pergi rumah kawan Hanis tu. Takut kena kunci kat luar rumah.

31 Januari 2011-1 Februari 2011

Kitorang dengar khabar angin, kerajaan Malaysia nak bawa keluar kitorang keluar dari Mesir. Macam-macam versi ada. Kitorang cuma harapkan family kat Malaysia beritahu berita terkini kat kitorang. Internet masih tak boleh guna. Kitorang memang takde sumber lain dah nak tahu berita terkini. Kadang-kadang tu tumpang tengok berita kat kedai runcit. Tapi, memang tak faham la. Takat tengok gambar tu boleh la. Memang teruk la keadaan Mesir dalam berita tu. Bank kena bakar, kedai, macam-macam lagi la.


Family pun dah mula risau. Setiap kali telefon, mesti ibu akan tanya, "Makanan cukup?" Hahaha..kitorang kat Tanta ni, langsung takde masalah nak dapatkan makanan. Alhamdulillah. Kalau kawan-kawan di Cairo, Alex dan Mansourah tu susah la kott. Tempat-tempat tu perusuh-perusuh memang aktif. 

Itulah hikmahnya Allah letakkan aku dengan kengkawan aku kat Tanta. Walaupun Tanta tu orang lain kata kampung, kitorang ok je...

Disebabkan excited dengar berita kerajaan nak angkut kitorang balik, setiap kali telefon berbunyi, semua berdebar je nak tau sapa telefon..mana la tau ada berita baru..Sepanjang tempoh menunggu nak dapat berita yang sah, kitorang habiskan masa dengan tengok movie, kemas rumah, makan, buat assignment. Itu je la yang kitorang boleh buat. Walaupun Tanta aman, kitorang tak digalakkan keluar rumah.

To be continued~
Share: